10.6.08

Chief Minister Refuses To Spend

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Hrkh) - Kerana enggan membelanjakan RM100 ribu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng lebih rela tinggal di sebuah rumah berusia milik bapanya.
Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu menceritakan perkara itu selepas bertemu dengan Setiausaha Agung DAP itu di Pulau Pinang baru-baru ini.
Beliau ke pulau itu baru-baru ini kerana hendak bertemu Lim untuk berbincang beberapa perkara mengenai kepentingan bersama kedua-dua pihak.
“Oleh kerana beliau sibuk, beliau meminta saya menemuinya kira-kira pukul 10.00 malam hari itu.
“Tahu di mana Guan Eng nak jumpa saya? Di restoran McDonald,” kata Mohamad Sabu yang mula mengenali Lim dengan lebih dekat ketika sama-sama di tahan dalam Operasi Lallang 1987 lalu.
Naib Presiden PAS itu juga lebih selesa bertemu di tempat terbuka kerana “tidak ada apa yang hendak dirahsiakan”.
Bagaimanapun, katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang itu kemudiannya memberitahu pertemuan itu tidak dapat diadakan di tempat terbuka itu atas nasihat pihak keselamatan.
Memahami perkara tersebut, beliau terus menuju ke rumah di mana Lim tinggal.
“Di rumah, dia biasa sahaja dengan “seluaq katok” (seluar pendek). Bila saya tengok keadaan rumah yang berusia tempat dia tinggal, saya tanya dia, kenapa tak pindah ke rumah rasmi Ketua Menteri?
“Dia (Lim) jawab: ‘Susahlah, kalau nak pindah kena perbaiki. Terpaksa belanja sampai RM100 ribu. Takkan saya nak belanja duit rakyat sampai RM100 ribu untuk kepentingan saya’
“Saya rasa sangat terharu mempunyai kawan seperti itu,” kata Mohamad Sabu.
Walaupun perkara itu bukanlah perkara baru baginya, memandangkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990 memilih kehidupan yang sederhana, begitu juga Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu, Naib Presiden PAS itu tetap merasa bangga dengan sikap sederhana dan rendah diri Lim itu.
“Saya bangga kerana dia takut nak belanja wang rakyat RM100 ribu sedangkan Perdana Menteri gasak sehingga RM15.81 juta untuk ubahsuai kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya.
“Saya yakin, Menteri-Menteri Besar kita yang lain (dari PAS dan KeADILan) juag akan memilih jalan kehidupan yang sederhana yang sama seperti dua Tok Guru kita, jauh lagilah menyalahgunakan harta kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, kata-kata pertama Lim semasa mengadakan sidang media di Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 28 Komtar ialah: “Saya rasa seperti melangkah masuk ke kandang singa”.
“Saya tidak menyangka dapat duduk di kerusi ketua menteri ini kerana pernah dipenjarakan. Ia merupakan transformasi sebenarnya dan pengalaman baru bagi saya,” Bernama memetik Lim.
Sebelum mengangkat sumpah, Lim berkata beliau dapati lebih ramai pemberita menghadiri sidang akhbarnya sekarang dan “saya diterangi lampu-lampu kamera”.
Dalam kenyataan kemenangannya, Lim berkata, “Kami gembira dengan kemenangan ini dan berjanji tidak akan mengecewakan penduduk Pulau Pinang.
“Kami mahu menegaskan bahawa kerajaan baru adalah untuk rakyat Malaysia daripada semua kaum. Kami ada bersikap adil, saksama dan tidak mendiskriminasikan mana-mana kumpulan - memberi bantuan kepada semua yang memerlukan.
“Penduduk Pulau Pinang yang berbakat akan mendapat peluang saksama daripada gabungan parti pembangkang itu yang disatukan menerusi kecintaan terhadap demokrasi dan menghormati hak asasi manusia, kekaksamaan politik dan keadilan sosioekonomi,” katanya sambil mengesa orang ramai supaya “menghormati hasrat rakyat”.

2.6.08

LIM GUAN ENG-Betty Chew Gek Cheng

Betty Chew bangga dengan kecekalan suami
Mohd Taufek Yahya

Betty Chew bukanlah nama asing dalam politik negeri Melaka. Mengetuai cabaran DAP di Dewan Undangan Negeri Melaka sebagai Ketua Pembangkang sesi lalu, Betty dikenali lantang menjuarai isu-isu rakyat dan penyelewengan yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan BN. Betty Chew Gek Cheng dilahirkan di Tengkera, Melaka dan dibesarkan di Gajah Berang oleh sebuah keluarga miskin. Bapanya yang bekerja sebagai penarik beca bertungkus lumus membesarkan anaknya yang seramai 5 orang. Betty anak ke-4. Selepas tamat pengajian rendah, Betty meneruskan pengajian di Sekolah Tinggi Perempuan Melaka. Beliau melanjutkan pengajian tertiari dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Sains (USM) Pulau Pinang. Ekoran kemelesetan ekonomi negara pada 1988, Betty mengambil keputusan mengikuti kursus undang-undang dan kini menjadi pengamal undang-undang. Ahmad Lutfi Othman, Taufek Yahya dan Muhammad Zaili Muhammad mewawancarai beliau di pejabat guamannya di Taman Melaka Raya bagi mengenali lebih dekat latar belakang peribadi Adun Kota Laksamana itu dan pandangan beliau tentang politik dan suaminya, Lim Guan Eng yang kini menjawat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Macam mana puan boleh bertemu jodoh dengan saudara Lim Guan Eng?

Saya jumpa beliau (Guan Eng) di Melaka pada tahun 1987. Dia baru jadi ahli parlimen (Kota Melaka) pada tahun 1986. Kami berkahwin pada tahun 1989 dan kini mempunyai empat orang anak.

Bagaimana boleh melibatkan diri dalam politik?

Sebenarnya saya mula bertanding pada 1999. Masa itu DAP tawarkan saya sebagai calon. Pada masa tu saya dah praktis (sebagai peguam). Selepas buat pertimbangan saya terima kerana walaupun DAP parti politik, tapi saya rasa ia satu platform untuk bantu orang ramai.

Saya sebenarnya tidak punya cita-cita dalam politik malah aktiviti politik saya terhad di Melaka saja.

Saudara Lim masa tu ditahan di bawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kah?

Dia sudah dibebaskan tapi menjalani hukuman lima tahun tak boleh aktif dalam politik.

Masa tu puan ada mempunyai jawatan dalam politik?

Walaupun saya tidak terlibat dalam politik secara langsung sebelum itu, tetapi sebagai seorang isteri ahli politik, secara tidak langsung saya terlibat juga; macam ikut dia (Guan Eng) ke program parti dan ini mendekatkan saya dengan politik DAP.

Bila saudara Lim ditahan?

Dia ditahan pada 0ktober 1987 di bawah ISA di Kamunting selama 18 bulan. Masa tu kami belum berkahwin lagi. Kali kedua pada 1998 juga 18 bulan di bawah Akta Hasutan, dan kerana berkelakuan baik dibebaskan setelah menjalani hukuman selama 12 bulan.

Keadaan di dalam penjara Kajang lebih teruk kerana dia dianggap sebagai penjenayah biasa. Ketika dia masuk (penjara) kena tidur atas lantai simen dan air minuman tak dimasak. Jadi dia kena berjuang juga dalam penjara bagi mendapatkan hak. Kemudian baru pihak penjara beri katil, tilam dan sebagainya kepada banduan sehinggalah sekarang. Jadi dalam penjara pun dia perjuangkan keadilan (untuk banduan).

Bagaimana beliau menghadapi semuanya ini?

Sebenarnya dia adalah seorang yang gigih sebelum berjaya mencapai ke tahap ini, sebab bila dia ditahan kali kedua di Kajang, semua hilang; pencen dan pelbagai kemudahan lain walaupun sebelum itu dia sudah tiga penggal jadi ahli parlimen.

Beliau tidak masuk politik hampir 10 tahun sebab tak dapat bertanding. Sekarang orang cakap (dia sudah) senang, tapi dari asal susah orang tak tahu. Perjuangan politik ini ada turun dan naik. Walaupun begitu dia tetap gigih dan orang Melaka semua kenal dia. Sungguhpun tak ada jawatan atau pendapatan, dia telah bantu ramai orang di Melaka. Jadi orang Melaka bagi galakan, apabila boleh bertanding "kita akan sokong kamu".

Orang ramai suka dia, mana dia pergi orang kerumun dan kenal dia.

Jadi puan mula bertanding 1999?

Saya mula bertanding 1999 di DUN Durian Daun, 2004 tukar nama Kota laksamana dan kemudian 2008 masih di Kota Laksamana.
Maksudnya faktor utama puan masuk politik kerana saudara Lim Guan Eng tak boleh bertanding?

Pada 1999 saya masuk politik disebabkan saya hendak membantu orang ramai. Saya fikir melalui platform lain pun sama juga macam NGO, kita satu platform. Jadi saya fikir mengapa saya tidak pilih DAP sebab ini satu platform untuk saya bantu orang-ramai. Ramai orang perlu bantuan dari segi undang-undang, nasihat, kaunseling dan pelbagai lagi. Jadi sebagai aktivis sebuah parti politik, saya kena masuk bertandinglah.

Masa saudara Lim ditahan 1998 dulu anak-anak macam-mana?

Anak masih kecil masa tu, yang paling kecil dua tahun lebih dan yang besar tujuh tahun. Saya bertuah kerana punyai ibu dan ahli keluarga serta mentua yang sanggup bantu. Lagi pun masa tu saya dah kerja.

Pada masa (Guan Eng) ditahan di Kajang, itu bukan satu masa yang senang. Kita pun tak tahu macam mana beliau di dalam, dan kita di luar kena berdikarilah. Sebulan sekali saya jumpa beliau di sana dengan menaiki kereta ke Kajang dan ada juga kawan-kawan tolong sikit.
Dalam keadaan sekarang ini puan di sini sebagai ADUN dan saudara Lim di Pulau Pinang, jadi macam-mana puan mengatur dari segi masa untuk berjumpa dan sebagainya?

Perkara ini masih baru lagi sebab Mac kita dapat keputusan dan kita masih dalam proses penyesuaian. Saya perlu putuskan macam mana; nak pindah ke tak nak pindah, belum tahu. Anak yang sulung mungkin tinggal di sini (Melaka) untuk menghadapi SPM dan pada masa sama saya sebagai ADUN tak boleh tinggalkan kawasan. Jadi ada sikit uniklah. Biasanya kita lihat semua Ketua Menteri atau menteri-menteri isterinya tak bekerja.
Saya tak boleh berhenti ikut suami kerana kali ini peningkatan majoriti saya banyak. Dulu (2004) tiga ribu lebih tapi kali ini tujuh ribu lebih.

Dalam sebulan ini selepas 8 Mac berapa kali puan ke Pulau Pinang?
Ada dua tiga kali dan sekali pergi dua tiga harilah, sebab masih dalam perancangan sama ada nak tinggal sana ke nak tinggal sini. Banyak yang hendak dipertimbangkan bukan senang macam tutup kedai, jalan saja.(ketawa)

Selalu orang melihat di belakang seorang lelaki ini ada seorang wanita jadi bukankah saudara Lim lebih memerlukan puan di sana?
Yang susahnya saya kena bagi masa sebab dia tak boleh suka-suka balik, jadi saya kena pergi ke sana jumpa dia dan ramai menasihatkan saya bahawa dia lebih memerlukan saya. Jadi dalam proses peralihan dan memerlukan sedikit masa.

Tapi tak adalah sampai puan letak jawatan?

Tak adalah... Saya telah berbincang dengan ramai orang dan pengundi saya ramai yang susah hati. Mereka SMS tak bagi letak jawatan. Mungkin saya akan lantik pembantu wanita secara sepenuh masa untuk menolong saya.

Apa isu penting yang akan puan perjuangkan pada sesi ini?

Kos kehidupan dan juga korupsi tender projek, sebab ramai beritahu saya walaupun mereka bumiputera tapi projek tak dapat. Kebanyakan kontraktor orang luar Melaka, jadi ramai yang tak puas hati.
Para peniaga seperti di Melaka Sentral juga mengalami kemerosotan perniagaan yang teruk, sebab semua pasaraya besar buat perniagaan 24 jam, macam mana peniaga kecil nak buat untung. Walaupun negeri ini kecil tapi terlalu banyak pasaraya besar. Ini memberikan kesan kepada semua peniaga Melayu, Cina dan India. Saya fikir ini isu penting yang perlu diperjuangkan.

Keputusan pilihan raya lepas ramai mengatakan berlakunya perubahan di kalangan pengundi bukan Melayu, mungkin puan ada rumusan tersendiri berkenaan pilihan raya umum lepas khususnya di Melaka?

Saya rasa rakyat nakkan perubahan dan sudah serik dengan kos kehidupan meningkat, (harga) petrol naik dan gaji tak seberapa. Dulu mereka tidak terfikir bahawa kuasa dalam tangan mereka begitu kuat; mereka rasa kalau undi atau tak undi pun sama, BN tetap jadi kerajaan.

Kali ini mereka sedar undi mereka kuat, boleh tukar kerajaan. Jadi ada harapan baru untuk menentukan siapa kerajaan. Sebelum ini kami beritahu mereka rakyat adalah bos (tuan) tapi mereka tak percaya sebab sudah terlalu lama ditindas, hampir 50 tahun. Saya harap mereka boleh pergi lebih jauh lagi ke tahap politik yang lebih baik iaitu kerajaan alternatif. Sekiranya ada kerajaan alternatif ianya baik untuk rakyat seperti di negara maju, dan rakyat akan dapat manfaatnya, sebab kalau tak baik kita tukar kerajaan.

Jadi kerajaan berlumba untuk beri kebaikan kepada rakyat kerana hendakkan undi rakyat dan rakyat.

Sebagai seorang isteri pemimpin politik, selain isu-isu keluarga pernah bincang tak pasal politik sebab puan juga sebagai seorang ahli politik?

Kalau politik nasional saya tak campur tangan sebab beliau (Guan Eng) sudah mempunyai penasihat politik yang berkaliber.

Pada malam keputusan diumumkan, ketika Pulau Pinang jatuh, puan dan saudara Lim di mana masa itu?

Saya di Melaka dan saudara Lim di Pulau Pinang. Dia hubungi saya (dan tanya keadaan) Melaka macam mana? Saya kata nampak oklah. Lepas tu beliau kata di Bagan oklah. Kami pun ucap tahniah antara satu sama lain. Kemudian dia (telefon lagi) beritahu saya mungkin kita dapat semua sebab para petugas parti bagi tahu sini menang, sana menang semua menang; saya macam tak percaya, memang tak terduga. Kita jangka (hanya) dapat nafikan 2/3 sahaja.

Dalam konteks Melaka bagaimana harapan Pakatan Rakyat, adakah mampu paling kurang pun menafikan 2/3 majoriti BN di masa akan datang?

Saya rasa kena bekerja kuat selepas ini. Tentu BN tak akan duduk diam. Mereka akan kerja kuat. Tak boleh hanya bergantung kepada keputusan 8 Mac. DAP menang 5 kerusi negeri kerana telah bekerja keras (memperjuangkan hak rakyat). Sebagai contoh pengambilan tanah di Kampung Pantai, Lorong Hang Jebat dan Kampung Hulu yang terletak di tebing sungai di mana kerajaan negeri nak ambil 165 rumah kedai dan sudah digazetkan.

Kita tanya kenapa dan untuk apa; mereka jawab untuk kepentingan awam. Jadi orang ramai terperanjat. Bila tanya MCA, mereka kata tersilap. Macam-mana boleh silap tapi sudah gazet. Sebelum pilihan raya mereka kata tersilap tapi lepas pilihan raya nanti mereka ambil semula. Ini membuatkan orang ramai tak percaya.
Banyak isu kita bekerja keras, jadi rakyat rasa mesti perlu ada DAP untuk tolong mereka dan lagi sebagai contoh Pulau Melaka pun Lim perjuangkan juga.

Walaupun Guan Eng bukan seorang wakil rakyat (di Melaka) ketika dihalang bertanding, dia masih membantu (orang ramai)?

Ya, sebab dia masih dihormati orang-ramai kerana bukan rakyat tolak dia tapi disebabkan undang-undang. Jadi rakyat beri penghormatan kepadanya dan dia masuk penjara bukan kerana dia curi atau bunuh orang, tapi kerana tegakkan keadilan sebab itu orang-ramai masih hormati dia.

Di akhir bicara ini boleh jelaskan tak pada pandangan puan watak Lim itu macam-mana?

Dia seorang baik, gigih dan kegigihan beliau telah membawa dia sampai ke tahap begini. Tidak ramai orang boleh menjalani kehidupan seperti dia; masuk ISA, di tahan di penjara, tiada pekerjaan tapi masih sanggup membantu orang dan ramai yang telah dia bantu.

Dia berjiwa rakyat dan kuat semangat, tidak perlu motivasi dari orang lain kerana dia boleh memotivasikan dirinya sendiri.- tajdid

HARAKAHDAILY.COM